Kadang-kadang pelik, kenapa ada yang
berebut untuk jadi calon Wakil Rakyat baik sebagai ADUN atau Ahli
Parlimen, tak kiralah dari parti apa sekali pun baik dari Barisan
Nasional mahu pun Pakatan Rakyat. Secara peribadi kalau boleh saya
sendiri tidak mahu menjadi calon Wakil Rakyat. Kalau nak ikutkan,
saya lebih selesa dengan kerjaya saya sekarang, dari segi pendapatan,
masa untuk keluarga dan anak-anak, masa untuk ke masjid dan surau,
masa bersama sanak saudara dan jiran tetangga.
Kalau nak bantu masyarakat, sekarang
pun saya boleh bantu sekadar kemampuan saya secara peribadi atau
sebagai Setiausaha Surau dan Taman Alamanda, selaku Timbalan
Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan atau pun sebagai
Yang Dipertua PIBG SMAD Klana.
Macamana pun nama saya naik sebagai
salah satu calon di Negeri Sembilan antara beberapa nama lain. Saya
sentiasa berharap dan berdoa agar nama calon lain akan dipilih oleh
pimpinan atasan. Namun kalau ianya adalah arahan dalam pimpinan
atasan untuk saya bertanding juga, saya perlu akur.
Nak katakan saya pandai berceramah,
kalau saya di pentas ceramah, tidak banyak isu politik sensasi yang
saya utarakan. Atas pentas ceramah saya lebih banyak mengutarakan
masalah setempat, masalah sikap budaya orang Melayu yang negatif,
masalah sejarah Negeri Sembilan yang semakin dilupakan generasi kini,
masalah tanah adat terbiar, masalah masjid-masjid yang lesu, setakat
itu saja isu yang saya boleh bawa dipentas ceramah. Kalau tak percaya
mungkin rujuk anggota polis di IPD Rembau boleh sahkan kerana mereka
ada menyimpan koleksi ceramah di Rembau.
Nak edar risalah-risalah pun, kekadang
fikir dua tiga kali apa risalah nak diedarkan, supaya boleh membuka
minda pengundi agar bersikap terbuka, rasional, berkasih sayang.
Sikap yang boleh membentuk masyarakat yang harmoni seperti mana yang
telah ditunjukkan oleh nenek moyang kita dahulu dari keturunan Orang
Asli Jakun dan dari Sumatera.
Kepada bakal-bakal
calon baik dari PAS, PKR dan Umno, janganlah berebut nak jadi calon.
Kalau menang , tanggungjawabnya amat berat di akhirat nanti. Terasa
betapa rendahnya martabat kita ahli politik dibandingkan dengan para
ulama. Wakil Rakyat kalau meninggal dunia, ramai yang berebut nak
jadi calon, tapi kalau seorang ulama meninggal dunia, para ulama
minta ulama lain dan menyebut kebaikan ulama lain untuk menjadi
pemimpin ulama.
Sekiranya saya
dicalonkan dalam masa yang sama saya sentiasa berharap dan berdoa
agar ada calon lain yang dipilih, bahan kempen saya cuma satu sahaja
di bawah ini.
Assalamualaikum dan salam
sejahtera,
Kepada para pengundi dan
penduduk di DUN Kota dalam kawasan Parlimen Rembau. Saya dilahirkan
kira-kira 47 tahun yang lalu di Kg Kota. Setelah puas saya merantau
bersama ibu bapa selama lebih 32 tahun akhirnya kami kembali menetap
di Rembau iaitu di Kg Bongek.
Setelah habis
mengejar ilmu saya juga kembali menetap di Negeri Sembilan sejak 20
tahun yang lalu bersama isteri dan anak-anak. Kini hati saya merasa
tenang berada di bumi kelahiran sendiri.
Walau bagaimana pun , saya
sentiasa menginginkan agar sanak saudara, jiran tetangga, masyarakat
setempat dapat merasakan ketenangan yang dapat dirasakan kami
sekeluarga.
Saya merasakan bumi Rembau
ini, khususnya di Kota adalah merupakan bumi yang bertuah, bumi yang
diberkati. Apabila saya kembali menetap di Negeri Sembilan,
perlahan-lahan saya kembali menjejaki akan sejarah dan kewujudan
Negeri Sembilan.
Sejak kecil dan di bangku
sekolah lagi, saya tidak didedahkan akan betapa uniknya sejarah di
Kota ini. Saya terasa amat bertuah apabila mengetahui bahawa tempat
kelahiran saya di Kota adalah asal terbentuknya kerajaan Rembau, di
mana pada waktu itu belum wujud lagi Negeri Sembilan.
Kota dan Rembau adalah
merupakan satu kawasan yang begitu pesat membangun sejak
berkurun-kurun lamanya.
Kita dulu hidup dalam satu
masyarakat yang penuh harmoni serta mengamalkan sistem demokrasi yang
awal di dunia menurut perspektif Islam, iaitu Sistem Adat Perpatih.
Namun kini, generasi kita
sudah lupa akan semua ini, mengakibatkan kampung-kampung semakin
sepi, rumah-rumah tradisional lama dengan seni bina yang hebat dan
unik, satu demi satu semakin terbiar, rebah menyembah bumi.
Adalah hasrat saya
agar kita dapat kembali meletakkan DUN Kota ini serta kawasan
parlimen Rembau ini satu kawasan yang pesat membangun seperti lebih
600 tahun yang lalu.
Saya inginkan cerdik
pandai, ulama, sasterawan, ilmuwan, tokoh politik yang berasal dari
Rembau tetapi ramai yang berhijrah luar Rembau, agar kembali berbakti
di Rembau ini.
Marilah kita sama-sama
bangunkan kembali DUN Kota dan parlimen Rembau ini. Marilah kita
berfikir, bekerja bersungguh-sungguh agar anak-anak Rembau yang ingin
kembali ke Rembau mudah untuk mereka mendapatkan tapak rumah mengikut
kemampuan mereka masing-masing.
Kita boleh bekerjasama
dengan semua pihak, terutamanya Dato-Dato Adat yang sejak 600 tahun
dulu memainkan peranan yang amat besar memajukan Rembau , meneroka
tanah-tanah pertanian, sawah bendang dan kampung-kampung.
Sekiranya saya inginkan
kesenangan , saya lebih selesa bekerja sebagai seorang professional
di sebuah firma antarabangsa.
Tugasan wakil rakyat
bukanlah satu tugas yang mudah, bukanlah satu tugas yang menjanjikan
projek untuk diri sendiri dan keluarga. Tugas wakil rakyat memerlukan
komitmen dan pengorbanan yang tinggi yang tiada masa untuk mengumpul
kekayaan dan untuk berehat.
Tugas seorang wakil rakyat
tidak akan berjaya tanpa kerjasama dari masyarakat setempat dari anak
buah hinggalah ke Ketua Adat, tanpa mengira suku, kaum, bangsa, agama
serta fahaman politik.
Sekiranya saya tidak
terpilih mewakili DUN Kota, saya mengharapkan pesaing saya dapat
meneruskan hasrat saya untuk kembali kita bersama-sama meletakkan
Kota dan Rembau ini digeruni lawan dan dihormati kawan seperti pada
awal terbentuknya kerajaan Rembau dan beberapa ratus tahun selepas
itu.
Tiada Kota, tiadalah
Rembau. Tiada Rembau, tiadalah Negeri Sembilan.
Rozmal bin Malakan
Kg Bongek , Rembau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan