KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130123

Melayu bunuh Cina kerana judi internet


Ini adalah hakikat apa yang berlaku ketika ini di Malaysia. Orang Melayu semakin parah, semakin ketagih dengan segala bentuk judi, judi ”halal”, judi ”haram”, judi internet. Buatlah berapa banyak serbuan ke atas premis judi internet, ia akan tumbuh semula macam cendawan kerana ada permintaan dari orang Melayu yang setiap minggu tidak diberikan peringatan melalui khutbah Jumaat akan ancaman sebenar sekeliling mereka. Tolonglah berikan hak khatib untuk berkhutbah untuk menyedarkan para jemaah untuk kembali kepada Islam, kenal Allah, takutkan Allah, cintakan Allah.

Balasan bunuh dua orang guna bom
Kosmo 23 Jan 2013

KUALA LUMPUR – Tertekan dengan masalah hutang akibat kalah judi internet, seorang bekas kontraktor komunikasi tergamak meletakkan bom buatan sendiri di depan rumah pengusaha kafe siber sehingga menyebabkan wanita itu dan pekerja lelakinya maut terkena letupan dalam kejadian tiga tahun lalu.

Berikutan perbuatan itu, Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan Mohd. Khayry Ismail, 48, dihukum gantung sampai mati selepas dia disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh Ng Siew Hong, 51, dan Goh Yong Seng, 35. Kedua-dua mangsa mati akibat melecur teruk di seluruh badan.

Hakim Datuk Su Geok Yiam mengenakan hukuman mandatori terhadap Mohd. Khayry selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kedua-dua kes tersebut.

Bapa kepada enam anak itu yang bercermin mata dan memakai jaket biru serta berseluar panjang dilihat tenang di kandang pesalah ketika keputusan dibacakan oleh hakim.

Beberapa ahli keluarga tertuduh yang memenuhi galeri mahkamah dan membaca surah Yasin sebelum prosiding bermula kelihatan sebak.

Mohd. Khayry didakwa membunuh pemilik kafe siber itu, Siew Hong dan pekerjanya, Yong Seng antara pukul 8 pagi dan pukul 8.30 pagi, 29 Ogos 2010 di hadapan rumah No. 2-12-4, Apartmen Desa Tun Razak, Blok 2, Jalan 8/118B, Desa Tun Razak, Cheras di sini.

Dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sebelum kejadian itu kerap kali kalah judi di kafe siber milik wanita separuh umur itu sehingga dia terpaksa meminjam wang daripada mangsa.

Tertuduh kemudian memberitahu rakan-rakannya bahawa dia ingin melakukan sesuatu yang buruk terhadap mangsa dengan membuat satu bahan letupan.

Pada awal pagi kejadian, tertuduh pergi ke rumah mangsa dan meninggalkan sebuah kotak sebesar saiz televisyen 14 inci berisi bahan letupan di depan pintu rumah mangsa di tingkat 12.

Salah seorang mangsa yang cuba mengangkat kotak yang di atasnya turut diletakkan sebiji limau bali menyebabkan kotak tersebut meletup. Letupan itu turut menyebabkan Siew Hong cedera parah akibat melecur.

Bukti keterangan dilakukan tertuduh berdasarkan beberapa pengakuan yang dibuat oleh tertuduh kepada rakan-rakannya selepas kejadian itu.

Terdahulu, peguam Hanif Hashim dan Zambri Ibrahim dalam rayuan berkata, anak guamnya tiada kesalahan lampau dan menyesal atas perbuatan tersebut.

“Tertuduh tidak mengenali mangsa kedua tetapi mangsa pertama merupakan rakannya yang dipanggil kakak,” kata Hanif yang memohon supaya mahkamah menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman terhadap anak guamnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhujah supaya faktor kepentingan awam lebih diambil kira berbanding kepentingan sendiri kerana bukan sahaja dua nyawa melayang tetapi ahli keluarga kedua-dua mangsa itu turut kehilangan orang yang disayangi.

Perbicaraan bermula 29 November 2011 dengan pendakwaan memanggil 40 saksi manakala pembelaan tiga saksi termasuk tertuduh yang memberi keterangan bersumpah.

Pembelaan memfailkan notis rayuan keputusan itu ke Mahkamah Rayuan semalam.

Tiada ulasan: