Fenomena tidak menghormati hari
kebesaran umat Islam iaitu hari Jumaat semakin menjadi-jadi ketika
ini di mana-mana, termasuk negeri yang majoriti penduduknya orang
Melayu. Semua para khatib harus dilatih berkhutbah, bukannya membaca
teks khutbah untuk menarik para jemaah menghayati khutbah Jumaat
seperti tarikan yang ada pada Ustaz Azhar Idrus, Sheikh Nuruddin Al
Banjari dan Ustaz Nor Azman Mohamad yang di”haram”kan berkhutbah
di Seremban.
'Tinggal solat juga maksiat'
Wartawan Sinar Harian
26 Januari 2013
KUALA TERENGGANU - Senario belia suka
melepak atau bersuka ria ketika umat Islam lain sedang memenuhi ruang
masjid bagi melaksanakan solat Jumaat sudah menjadi perkara biasa
yang berlaku di negara ini.
Namun biarpun terus dikupas dan
dibongkar sebab serta akibatnya, ia masih lagi berlaku dan dilihat
tidak memberi kesan kepada golongan berkenaan kerana tinjauan
mendapati, masih ramai yang meninggalkan solat wajib itu.
Tinjauan wartawan Sinar Harian di
sekitar Pantai Batu Burok mendapati golongan belia menjadikan kawasan
riadah itu sebagai tempat persinggahan, sementara menunggu selesai
solat Jumaat.
Mengulas isu itu, Imam Besar Negeri,
Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, keluarga adalah faktor paling utama
menyumbang masalah berkenaan kerana kurang mengambil tahu pergerakan
anak-anak.
“Ibu bapa tidak pernah menyoal
anak-anak yang lengkap berbaju Melayu dan berkopiah sama ada benar
mereka ke masjid atau melencong ke tempat lain bersama rakan-rakan.
“Mereka tidak boleh dibiarkan begitu
kerana tanpa pengawalan daripada ibu bapa memudahkan mereka melakukan
apa sahaja yang melanggar hukum, sedangkan ini tanggungjawab
bersama,” katanya kepada Sinar Harian.
Demikianlah juga masyarakat hari ini,
yang sering menuding jari menyalahkan kerajaan, sedangkan ia adalah
langkah bersama.
“Orang ramai yang melihat atau merasa
ada unsur-unsur berlaku kegiatan meninggalkan solat Jumaat, mereka
perlu melaporkan kepada pihak berwajib seperti pejabat agama dan
polis.
“Tetapi masyarakat hari ini hanya
melihat, pasangan yang duduk berdua-duaan itu sahaja adalah maksiat
dan bertindak melaporkannya kepada pihak berkuasa, sedangkan
meninggalkan solat wajib juga dikira maksiat,” katanya.
Menurutnya, masyarakat juga perlu
memainkan peranan dalam membanteras senario itu supaya tidak menjadi
semakin parah.
“Laporkan segera lokasi-lokasi yang
dipercayai golongan ini melakukan perkara yang melanggar hukum
syarak,” katanya.
Haram jual makanan
Sementara itu, berhubung orang yang
menjual makanan kepada mereka yang tidak pergi solat Jumaat,
sekiranya penjual itu adalah seorang lelaki, hukumnya haram.
“Tetapi sekiranya perempuan, itu
ditanggung oleh pembeli sendiri, tetapi pangkalnya adalah diri
sendiri.
“Kebanyakan daripada masyarakat hari
ini, pengamalan dalam kehidupan masih lagi tidak mencukupi kehendak
agama menyebabkan mereka mengambil mudah soal-soal sebegini,”
katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung
Baru Tetambah, Mohd Noor Ali sependapat dengan imam besar,
berpendapat program-program untuk mengimarahkan masjid juga dilihat
antara langkah terbaik perlu dilaksanakan.
“Memang tidak dinafikan, ibu bapa
kurang cakna bab solat kerana mereka juga sama seperti anak-anak.
“Sepatutnya ibu bapa menunjukkan
contoh baik kepada anak-anak supaya mereka secara tidak langsung
berminat mendekati masjid, sekali gus mengimarahkannya,” katanya.
Pada masa sama, masjid juga perlu
menganjurkan aktiviti yang dapat menarik golongan belia datang ke
rumah ALLAH SWT itu secara sukarela.
“Tetapi kadang-kadang pandangan
negatif golongan veteran (orang tua) terhadap anak muda menyebabkan
jarak hubungan mereka jauh.
“Hakikatnya masjid juga berperanan
untuk menyelesaikan masalah ini bersama-sama supaya tidak terus
diwarisi generasi akan datang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan