KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130128

Melayu subsidi, Melayu pemalas


Bukan semua Melayu, tapi segelintir Melayu. Ramai juga Melayu yang rajin, tapi susah nak cari sekarang ini. Semalam saya pergi ke Batu Caves, bukan menghadiri upacara keagamaan, tetapi menghadiri kenduri kahwin saudara saya. Dalam perjalanan pulang, kami melalui lebuhraya selepas Batu Caves, kelihatan petani Cina tua sedang bercucuk tanam sayur di tanah rizab TNB, di bawah talian voltan tinggi. Mereka yang rajin, akan nampak tanah di mana-mana sebagai rezeki, walaupun bukan tanah miliknya.

Tapi berbeza sebaliknya apabila balik di Rembau, tanahnya banyak, luas, lebar tapi orangnya pemalas terutama golongan belia, walaupun ada belia yang rajin, tapi boleh dibilang dengan jari. Ramai kawan-kawan saya dari Rembau yang mengakui hakikat tersebut, nak cari kontraktor baiki rumah di kalangan belia Melayu di Rembau amat susah, akhirnya terpaksa mencari kontraktor Indonesia.

Bukannya tak nak tolong orang Melayu kata mereka, kalau diberi kerja, lambat siap, tak siap-siap, walaupun modal dah diberi.

Begitu juga yang dapat projek bela lembu, bela ikan, bela ayam, bela kambing. Pengalaman bertani tak ada, pengalaman bercucuk tanam tak ada, pengalaman berniaga tak ada, tapi sentiasa saja mencari peluang untuk dapat dana dari kerajaan. Akhirnya lembu entah ke mana, ayam entah ke mana.

Bukan tak ada Melayu yang rajin, ada, tetapi mereka ini selalunya tidaklah sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan.

Agensi kerajaan sepatutnya turun padang kenal pasti peniaga sedia ada, petani sedia ada, penternak sedia ada yang boleh dibantu untuk mengembangkan usaha mereka.

Contohnya seperti seorang pemuda Melayu di pekan Chengkau yang buka warung burger. Saya sering berbual dengannya. Dulu dia kerja bengkel besi dengan orang di Senawang. Bila bengkel besi tersebut tutup, dia pun balik kampung. Akhirnya dia mengambil keputusan jual burger dengan hasil usaha sendiri.

Saya tanya dia, tak ada minta bantuan kerajaan ke. Dia kata, dia tak tahu pun ada bantuan kerajaan, dan dia pun rasa tak perlu minta bantuan. Saya kata pada dia ada banyak bantuan kerajaan, melalui JKM, 1Azam, Baitul Mal, Pejabat Belia dan sebagainya, tak ada sesiapa ke yang datang tawar bantuan? Katanya tak ada pun.

Bandingkan seorang pemuda Melayu yang yakin dengan rezeki Allah, boleh hidup berdikari dengan ramai pemuda Melayu lain yang sentiasa minta bantuan kerajaan tetapi tidak ramai yang berjaya.

Saya bercakap bukan atas dasar parti , ini adalah hakikat.

Kerana perkara yang sama juga saya perhatikan berlaku kepada penyokong Pakatan Rakyat, tidak semua, tetapi ada.

Contohnya untuk buat kertas kerja mohon bantuan kerajaan, masih ramai penyokong Pakatan Rakyat, bahkan ada Ketua Cawangan, AJK Cawangan, pimpinan kawasan , pimpinan surau mengharapkan YB dari Pakatan Rakyat atau Pejabat YB untuk menguruskan perkara remeh temeh ini.

Walhal perkara ini boleh dilakukan oleh sesiapa jua.

Contoh seperti nak sokong surat permohonan bantuan, sepatutnya boleh ditandatangan oleh Pengerusi Surau atau Taman, mereka nak juga pergi jumpa wakil rakyat.

Bukan tak boleh terima subsidi, biasiswa, bantuan dan sebagainya, tapi kita perlu yakin rezeki itu dari Allah. Malu rasanya sebagai orang Islam, diberi Allah tanah yang subur, badan yang sihat, akal yang cerdas tetapi masih tidak menggunakan sepenuhnya untuk mencari rezeki.


Tiada ulasan: