Tandas masjid kotor?
Utusan Malaysia 18 Jan 2013
“Pengerusi Madrasah al-Khairiah,
Taman Salak Jaya, Seputeh, Misron Misbah berkata, berbeza dengan
penganut ajaran agama lain, keprihatinan dan sensitiviti umat Islam
terhadap aspek kebersihan dilihat masih ditahap yang kurang
memuaskan.”
MENGGELIKAN. Begitulah keadaan yang
dapat digambarkan situasi sesetengah persekitaran tandas masjid dan
surau yang terdapat di negara ini.
Bukan sahaja di kawasan perkampungan
dan pedalaman, kawasan bilik air dan tempat mengambil wuduk di rumah
Allah SWT itu dilihat kurang diselenggara dengan baik walaupun di
lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Lebih menyedihkan, selain mengeluarkan
bau yang kurang menyenangkan, sisa najis, lumut serta sawang turut
'berpenghuni' dalam bilik bersuci di rumah ibadat bagi umat Islam
itu.
Tinjauan Mega Utusan Malaysia di
beberapa lokasi turut mendapati, pelbagai masalah turut berlaku
seperti; tandas tersumbat, mangkuk tandas pecah dan kotor, pam tidak
berfungsi, lantai tandas pecah dan berlumut, siling bersawang dan
sinki tersumbat.
Ini dilihat bukan sahaja mengurangkan
keselesaan jemaah dan pengguna, malah mengurangkan minat umat Islam
untuk mengunjungi rumah Allah itu.
Sehinggakan luahan mengenai tahap
kebersihan tandas masjid dan surau yang kurang memuaskan sering
menjadi buah mulut.
Permasalahan yang semakin menjadi tanda
tanya itu telah pun diutarakan ke peringkat atasan. Walaupun pelbagai
kempen dan program dijalankan, namun masalah ini diibarat bermusim
yang tidak berpenghujung.
Pasti ada sahaja yang akan mengadu
mendakwa tandas yang digunakan jijik dan kotor sehingga tidak sanggup
untuk menggunakannya.
Perkara yang dilihat semakin kurang
diambil perhatian itu dikatakan turut boleh menjejaskan identiti dan
imej Islam kepada orang bukan Islam yang selama ini menganggap Islam
agama yang mengutamakan kebersihan.
Pengerusi Madrasah al-Khairiah, Taman
Salak Jaya, Seputeh, Misron Misbah berkata, berbeza dengan penganut
ajaran agama lain, keprihatinan dan sensitiviti umat Islam terhadap
aspek kebersihan dilihat masih ditahap yang kurang memuaskan.
Sehinggakan terdapat sesetengah rumah
ibadat yang sepatutnya diselenggara dan dipastikan kebersihannya
tidak diuruskan dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi di kawasan
tandas dan bilik wuduk.
"Kesimpulan mudah yang dapat
dibuat terhadap sesuatu agama adalah berdasarkan rumah ibadat mereka.
Ini kerana, secara umumnya segala penilaian dapat dibuat dan
menggambarkan penganut agama tersebut dengan melihat rumah ibadat.
"Jika kesedaran terhadap
kebersihan khasnya di kawasan rumah ibadat kurang, secara tidak
langsung memberi kesan negatif, sekali gus memburukkan keseluruhan
imej Islam.
"Ini juga dilihat menjadi
penghalang serta menghilangkan kepercayaan bukan Islam yang
mengetahui Islam itu menitikberatkan kebersihan bagi yang ingin
memeluk Islam," katanya ketika ditemui.
Oleh itu katanya, hadis Rasulullah SAW
bermaksud; "Sesungguhnya Allah SWT itu bersih dan menyukai
kebersihan", perlu diterapkan dalam jiwa setiap umat Islam,
bukan sahaja diungkapkan di bibir.
Tambahnya, sebagai umat Islam juga
seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada agama lain kerana
ia merupakan salah satu langkah dalam berdakwah.
"Secara umumnya fitrah manusia
yang menyukai kepada kebersihan. Istimewanya bagi umat Islam adalah
kebersihan telah didedahkan dengan prinsip menjaga kebersihan sejak
kecil dan juga merupakan tuntutan agama.
"Tetapi jika kita lihat, realiti
yang berlaku orang bukan beragama Islam lebih mendahului kita dalam
aspek kebersihan terutamanya bahagian tandas," luahnya.
Tanggungjawab
Sementara itu, Setiausaha Ahli
Jawatankuasa (AJK) Masjid al-Aqram, Jalan Datuk Keramat, Abdul Hamid
Mat Isa berkata, mentaliti dengan meletakkan tanggungjawab menjaga
kebersihan kawasan masjid dan tandas terhadap AJK masjid atau surau
perlu diubah daripada pemikiran masyarakat.
"Jika tandas kotor tok siak (AJK
surau atau masjid) yang dipersalahkan. Dikata tidak menjalankan tugas
dan hanya makan gaji buta. Persepsi ini sama sekali tidak benar dan
perlu diubah.
"Dalam hal ini, orang ramai tidak
boleh meletakkan sepenuh tanggungjawab hanya kepada tok siak,
walaupun secara formalnya bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan
kawasan masjid.
"Dengan keadaan tok siak yang
kebanyakannya sudah berumur, ditambah dengan persekitaran masjid yang
luas tidak mampu diusahakan setiap hari, selain masjid dikunjungi
oleh jemaah setiap waktu solat.
"Jika mempersoalkan mengenai gaji
pula, berapa sangat upah yang dibayar kepada mereka. Jika masjid
mungkin ada elaun daripada kerajaan, tetapi di surau mengharapkan
tabung kutipan masjid sahaja," katanya.
Sehubungan itu, ujarnya, dalam usaha
menambah baik tahap kebersihannya, kesedaran dan kerjasama orang
ramai penting bagi memastikan ia kekal bersih lebih-lebih lagi bagi
golongan muda.
"Tidak dinafikan kerja membersih
dan mengendali masjid serta surau ini agak kurang diminati, terutama
di kawasan tandas. Tetapi, demi mengubah imejnya, ia perlu dilakukan.
"Oleh itu, tenaga muda dan seluruh
jemaah sangat diperlukan dalam menambah baik agar sentiasa
terpelihara," saran beliau.
Selain untuk beribadat, masjid dan
surau juga boleh berfungsi sebagai lokasi persinggahan serta kawasan
rehat dan rawat bagi orang yang bermusafir.
Bagi Siak di Surau al-Ikhlasiah,
Keramat Jaya, Hasyim Yaacob berkata, kebersihan dan keselesaan
sebenarnya merupakan salah satu strategi dalam mengajak orang ramai
mendekati rumah ibadat secara psikologi. Sebagaimana fungsi kawasan
rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya, surau memainkan peranan
sebagai satu daya tarikan.
"Pendekatan sama juga boleh
digunakan bagi menarik minat orang ramai untuk mengunjungi surau dan
masjid. Selain untuk menjamin kekhusyukan beribadat, persekitaran dan
tandas yang bersih mampu menarik jemaah untuk kerap mengunjungi
masjid kerana kawasannya yang memberi ketenangan," jelasnya.
Hasyim turut berharap, kebersihan dan
keselesaan itu bukan sahaja diamalkan di kawasan khas, tetapi di
kawasan awam lebih-lebih lagi di rumah ibadat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan