KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130126

Malulah, orang luar nak ajar kita pasal Adat Perpatih


Eloklah telah ada usaha sekarang ini untuk menjejaki kembali sejarah pembukaan Negeri Sembilan oleh pendatang asing dari Sumatera bersama orang tempatan dari suku Jakun sejak lebih 600 tahun dahulu. Sejarah yang semakin dilupai oleh generasi masa kini. Semalam saya berjumpa seorang tok guru di Rembau, katanya orang yang cinta Allah, akan cinta negerinya, akan cinta bangsanya.

Malulah rasanya sekarang ini , kita terpaksa mendapatkan bantuan dari pihak luar untuk menjejaki kembali asal usul kita sedangkan anak tempatan pun apa kurangnya. Cuba beri penghargaan dan dapatkan pandangan mereka yang secara sukarela memperjuangkan Adat Perpatih melalui blog seperti yang dilakukan oleh Suku Biduanda Lela Maharaja Waris Kota di http://waghihbiduandalelamaharaja.blogspot.com , Sasterawan terkenal AF Yassin di http://waris-gadong.blogspot.com serta Anak Rembau di http://www.nagarinantuo.com

Lembaga Muzium Negeri Sembilan, UKM buat kajian jurai Adat Perpatih
24 Januari 2013

SEREMBAN - Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalankan kajian mengenai jurai Adat Perpatih dan sebagai permulaan Luak Inas dipilih dalam kajian itu.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Drs Shamsuddin Ahmad berkata taklimat khas mengenainya diadakan di rumah pemangku Penghulu Luak Inas Datuk Bentara Jantan Baharuddin Mohamad Noor di Kampung Sengenyih, Inas, Kuala Pilah baru-baru.

"Tujuan taklimat ini ialah untuk memberi kefahaman kepada Datuk-Datuk Adat (pemimpin adat) Luak Inas mengenai kajian ini yang menyentuh tiga perkara utama iaitu konsep kepersekutuanan Negeri Yang Sembilan, peneguhan kembali komuniti persukuan Adat Perpatih serta pemetaan luak-luak Adat Perpatih dan pentadbiran tanah pusaka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata tempoh kajian dijangka dua hingga tiga tahun dan pendekatan yang diguna ialah mengadakan siri perjumpaan yang dipimpin datuk lembaga dan buapak dalam suku masing-masing.

Shamsuddin berkata impak kajian ini ialah masyarakat Adat Perpatih dapat mengenali pemimpin mereka dan pemimpin adat pula mengenal pasti anak buah mereka sebagai sebuah masyarakat adat yang telah wujud ratusan tahun.

Beliau berkata hasil dapatan daripada kajian ini adalah kewujudan sebuah pangkalan data khas berkenaan keseluruhan maklumat suku Adat Perpatih berserta carta organisasi kepimpinan adat sesebuah luak serta cadangan untuk mewujudkan pejabat adat di setiap luak yang dikendalikan pembantu tadbir. - Bernama

Tiada ulasan: