Sepanjang perkenalan saya dengan Tunku
Zain Al’Abidin Tuanku Muhriz melalui laman maya dan tulisan beliau
dalam akhbar berbahasa Inggeris serta laman web IDEAS, Tunku Zain
sentiasa mengutarakan pandangan yang bernas mengenai demokrasi serta
mengambil beberapa contoh dan perbandingan demokrasi yang diamalkan
di negara barat serta demokrasi yang diamalkan dalam sistem Adat
Perpatih yang menjadi rujukan negara barat.
Tunku Zain tidak pernah sepengetahuan
saya menulis untuk menyokong mana-mana parti, atau mana-mana pemimpin
parti. Tunku Zain adalah merupakan Presiden dan pengasas Institut Hal
Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Institute of Democracy and Economic
Affairs – IDEAS).
Saya menyarankan pemimpin politik serta
ahli politik baik dari BN atau Pakatan Rakyat khususnya di Negeri
Sembilan agar meneliti tulisan beliau di laman web IDEAS di
http://ideas.org.my
Saya juga menyarankan agar calon yang
akan bertanding dalam DUN atau Parlimen di N.Sembilan baik dari UMNO,
PAS, PKR, DAP, MIC dan MCA perlu mahir dalam sistem Adat Perpatih
sepertimana Undang Rembau yang ke 18 dahulu iaitu Dato Abdullah bin
Hj Dahan yang tegas meletakkan syarat bahawa Residen Inggeris,
Pegawai Daerah Rembau serta kakitangan kerajaan di Rembau perlu mahir
selok belok Adat Perpatih, jika tidak mereka tidak akan diambil
bekerja.
DAP akui ada 'lamar' Tunku Zain, bidas
Tunku Aziz tidak beretika
Sinar Harian
27 Januari 2013
SHAH ALAM – Tindakan bekas Naib
Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan kepada umum
yang beliau pernah diminta Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony
Loke agar memujuk Tunku Zain Al’Abidin Tuanku Muhriz menyertai
parti itu disifatkan sebagai tidak berintegriti dan beretika.
Loke yang juga Setiuasaha Pengelola DAP
berkata, tindakan Tunku Abdul Aziz itu tidak menghormati perbincangan
yang bersifat peribadi dan sepatutnya ia tidak diungkit balik demi
menghormati status Tunku Zain Al’Abidin.
“Saya amat kesal dengan tindakan
beliau (Tunku Abdul Aziz). Perkara itu dinyatakan dalam satu
perjumpaan yang tidak formal dan tertutup, sepatutnya ia bersifat
peribadi. Jadi mengapa perlu nak hebah-hebahkan?
“Sepatutnya beliau perlu menghormati
privasi individu tersebut kerana baginda yang dikaitkan itu bukannya
orang biasa, sebaliknya orang bangsawan,” kata beliau ketika
dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Semalam, dalam satu ceramah di
Seremban, Tunku Abdul Aziz mendakwa Loke pernah meminta beliau untuk
memujuk Tunku Zain Al-'Abidin, anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menjadi calon parti itu dan
bertanding kerusi Dewan Undangan
Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Tunku Abdul Aziz berkata, Loke meminta
beliau mengadakan satu majlis dan menjemput Tunku Zain Al-'Abidin
hadir untuk menyatakan hasrat tersebut kepada baginda.
"Kerana DAP telah melihat Tunku
ini seorang yang amat pintar, petah bercakap, jadi dia nak sasarlah
Tunku dan suruh saya sebagai 'Tunku yang tua' barangkali boleh saya
pujuk 'Tunku yang muda' ini.
"Kononnya untuk bagi Tunku jadi
Menteri Besar Negeri Sembilan. Tidakkah ini satu benda yang bodoh,
tak masuk akal. Anak jadi Menteri Besar, ayah jadi Yang Dipertuan
Besar," katanya.
Tunku Abdul Aziz juga berkata, sebaik
hasrat DAP itu disampaikan kepada Tunku Zain Al-'Abidin, baginda
menolak permintaan itu.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai
‘pelawaan’ DAP itu, Loke enggan mengulas lanjut.
Namun katanya, DAP hanya mahu
menggalakkan golongan cerdik pandai menyertai DAP.
Katanya, Tunku Zain Al-'Abidin dilihat
sebagai seorang yang cerdik pandai, aktif dalam badan bukan kerajaan
(NGO) dan mempunyai kolumnisnya sendiri serta banyak bagi syarahan.
“Kami (DAP) tidak melanggar mana-mana
undang-undang pun dan ini menunjukkan keterbukaan DAP.
“Malah, ramai anak raja menyertai
politik. Kalau kita lihat, Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj juga merupakan seorang anak raja. Baginda
juga menyertai politik (Umno),” katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada pihaknya akan
mengambil tindakan terhadap Tunku Abdul Aziz, Loke berkata, “apa
tindakan nak ambil? Kalau ia berunsur fitnah, DAP tidak akan
teragak-agak untuk ambil tindakan.”
Sementara itu, Loke turut mendakwa,
kenyataan Tunku Abdul Aziz ‘separuh benar' kerana ada yang diputar
belit dan seolah-olah terdesak untuk curi perhatian.
“Dulu beliau kata DAP bersifat
cauvanis Cina dan apabila DAP mahu menarik orang Melayu sertai DAP,
beliau kata ada agenda pula.
“Rasanya Tunku Abdul Aziz sudah
keliru dengan kenyataannnya sendiri. Saya cuma harap beliau jaga
etika dirinya sendiri dan menghormati privasi Tunku Zain.
“Jika tidak, beliau hanya akan
merosakkan imej beliau sendiri,” tegas beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan