KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20140530

Berat sama dipikul



Alhamdulillah saya telah menerima RM300 sumbangan daripada seorang individu untuk makcik Zainab di Kg Tg Sena Hulu dan RM100 daripada individu lain untuk pakcik Latif di Kg Batu Hampar. InsyaAllah saya akan sampaikan pada hujung minggu ini. Saya harap mereka yang ingin membantu khususnya orang Rembau baik yang berada di Rembau atau di perantauan agar salurkan terus kepada keluarga ini. Sebaiknya sumbangan apa yang mereka hajatkan iaitu katil khas, katil beroda, lampin pakai buang dan susu khas.

Tabah jaga suami terlantar
29 Mei 2014

REMBAU - Melihat keadaan suami yang terlantar lesu, hatinya sedih dan sayu. Namun, Norpiah Majid, 67, menerima dugaan itu dengan kuat dan tabah demi meneruskan kelangsungan hidup. Suaminya, Abdul Latif Osman@Othman, 77, berhenti kerja setelah mengalami masalah kesihatan dan memerlukan penjagaan rapi, sejak setahun lalu.

“Kini, dia terlantar sakit dan terpaksa memakai lampin pakai buang kerana tidak mampu bergerak lagi. Malah saya juga harus membantu menyuapkan makan dan minum suami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu Hampar, dekat sini.

Menurutnya, dia amat berharap agar permohonannya untuk mendapatkan katil khas diluluskan segera bagi memudahkan dia menguruskan suaminya terlantar sakit.

Hanya bergantung pada susu khas
24 Mei 2014

REMBAU - “Mak perlu dijaga seperti anak kecil kerana setiap tiga jam sekali, mak perlu diberi susu. Sebab itu setiap kali melihatnya, saya sedih." Demikian luahan seorang anak Hamidah Monson, 53, apabila emaknya, Zainab Ahmad, 79, hanya mampu terbaring sejak diserang strok sebelah badan kirinya lebih tiga tahun lalu.

"Malah saya perlu berhati-hati kerana susu itu perlu diberi melalui salur khas yang dipasang di hidung mak, di mana setiap dua kali seminggu kakitangan kesihatan akan datang untuk menukar salur baharu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Sena Hulu, dekat sini, semalam.

Justeru itu katanya, dia amat berharap permohonannya untuk mendapatkan katil beroda untuk emaknya akan berjaya.

15 tahun derita sakit misteri
8 Mei 2014

REMBAU –“Ada masanya saya terasa sakit seluruh badan. Sakitnya seperti dicucuk duri. Tapi, doktor kata saya hidap sakit usus,” luah Rokiah Baba, 59, ketika ditemui di kediaman sewa anaknya di Jalan Datuk Mohd Dom, dekat sini, semalam.

Walaupun Rokiah memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi untuknya menampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang dan kos ke hospital.

Menurutnya, susulan masalah kewangan yang dihadapinya itu, ada kalanya dia terpaksa menggunakan surat khabar sekiranya kehabisan lampin pakai buang dan tidak mampu untuk membeli keperluan perubatan lain.

Tiada ulasan: