KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20140526

Orang Melayu kena belajar berpolitik dari orang Cina


Orang Cina walaupun berlainan parti politik, tapi dalam soal pendidikan, soal perniagaan, soal masyarakat mereka bersama mencari jalan penyelesaian dan memajukan masyarakat mereka.

Alhamdulillah, hujung minggu semalam dan kelmarin amat sibuk. Sibuk, dalam masa yang sama dapat melayani kehendak keperluan ibu.

Hari Sabtu, memenuhi undangan jiran sebelah rumah, yang merupakan ketua cawangan Umno setempat, seorang kontraktor yang amat berjaya di Negeri Sembilan. Walau pun berlainan parti, kami saling faham memahami antara satu sama lain. Bab politik lain, bab berjiran lain. Masa pilihanraya tempat dia jadi bilik gerakan BN DUN Kota, tempat saya pula jadi bilik gerakan Pakatan Rakyat DUN Kota.

Hari Ahad pula bersama dengan AJK dan ahli PAS DUN Kota melawat 2 orang veteran PAS di DUN Kota yang berumur hampir 90 tahun, tetapi masih sihat cara tua, masih baik ingatan mereka.

Terpegun pemuda PAS yang bersama saya mendengar cerita sejarah kampung dan sejarah perjuangan PAS di Negeri Sembilan, lagi seronok dan kaget dengar cerita 2 orang veteran ini dari tengok Cerekarama, cerita Bollywood dan Hollywood atau baca Harakah. Cerita 2 orang veteran ini tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Veteran pertama, Pakcik Mad Tabir gelarannya di Kg Baru Chengkau. Dia cerita bagaimana Dato Asri Presiden PAS pada waktu itu sering datang ke Negeri Sembilan berjumpa dengan beberapa pejuang PAS pada waktu itu. Bersemangat dia bercerita dalam keadaan tangan menggigil.

Veteran kedua, pakcik Bakar. Pakcik Bakar ni yang banyak kisah kampung dan kisah perjuangan PAS yang diceritakan. Cerita zaman British, zaman Jepun, zaman darurat Komunis.

Walaupun Jepun zalim, tetapi antara kebaikan Jepun ialah apabila Jepun nampak pemuda kampung di Rembau melepak, dilempangnya Jepun tadi pemuda kampung. Orang Jepun marah, sebab tanah banyak, hutan banyak, orang Jepun suruh orang Melayu bercucuk tanam. Barulah orang Melayu hendak meneroka tanah dan bercucuk tanam.

Sekarang ni pun kita tengok ramai pemuda dan petua kita yang melepak, sedangkan tanah banyak yang terbiar di Rembau. Eloknya Nazir Masjid, Penghulu, JKKK lempang juga mereka yang suka melepak ini, tapi sekarang tak boleh, silap-silap masuk mahkamah.

Pakcik Bakar ni dulu sebelum merdeka ialah Pemuda Umno, tetapi apabila ditubuh Perikatan dia menyertai Parti Negara bersama Onn Jaafar, dan di Rembau yang bertanding pada waktu itu ialah Baba Ludek, Presiden Parti Negara selepas Onn Jaafar.

Pakcik Bakar cerita dulu ada Sekolah Melayu guna tulisan Jawi. Lepas tu musnah sekolah Melayu, jadi Sekolah Umum. Lepas Sekolah Umum barulah timbul Sekolah Kebangsaan. Pakcik Bakar kata sekolah Kebangsaan untuk bangsa apa? Cina ada Sekolah Kebangsaan Cina, India ada Sekolah Kebangsaan Tamil, Melayu?

Zaman Komunis pula pakcik Bakar cerita di Rembau atau di Kota ada 2 orang Melayu yang dibunuh yang tidak dapat mendapat pembelaan yang sewajarnya. Salah seorang ialah Pak Sedara Undang Rembau, Undang Dato Dolah. Yang hendak menuntut pembalasan ialah Dato Menteri (Tok Montoghi). Tok Montoghi pakai selempang jumpa keluarga yang kena bunuh tadi seorang diri. Dia minta izin untuk membalas dendam. Tok Monotghi minta izin untuk hapuskan semua orang Cina di Kota seorang diri pada waktu itu. Keluarga mangsa tidak izinkan, mereka reda.

Disebabkan kemarahan yang memuncak, Tok Montoghi peluk sebelah tangan pokok nangka yang besar, lalu dicabutnya pokok tadi dengan akar-akarnya. Pakcik Bakar kata Tok Montoghi ni hebat orangnya, dia pernah nampak Tok Montogi cabut pokok kelapa yang besar hanya dengan menggunakan tangan.

Pakcik Bakar ini walaupun dipulaukan oleh ramai orang setempat kerana fahaman politiknya tetapi rezekinya murah, dia mempunyai lebih 70 cucu, lebih 30 cicit, sekali berkumpul semua ahli keluarganya kena sembelih seekor kerbau.

Pakcik Bakar dan Pak Mad Tabir yakin, rezeki ALLAH yang beri.

Sama jugalah dengan seorang ahli yang bersama dalam lawatan tadi. Masa pilihanraya yang lalu dia diberitahu nanti kedai bengkel motosikalnya akan rugi, orang kampung takkan hantar lagi motosikal ke kedainya untuk dibaiki. Dia yakin, rezeki ALLAH yang beri.

Lepas pilihanraya, sekarang dia tak cukup tangan untuk membaiki motosikal kerana terlalu ramai yang hantar motosikal ke tempatnya, bukan sahaja dari Rembau malahan dari Kuala Lumpur, kerana dia ni mahir dalam membaiki Superbike yang ahli DACS, ARC Negeri Sembilan sendiri tak tahu.

Alhamdulillah, pengalaman dan cerita yang sukar diperolehi. Tak sabar menunggu untuk jelajah veteran seterusnya. Mereka ini adalah merupakan teman-teman arwah saya.

Tiada ulasan: