Ini ialah kes ke 3 yang disiarkan akhbar dalam tempoh
sebulan di Rembau. Mungkin banyak lagi kes seperti ini? Adakah masyarakat
sekitar menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab membantu keluarga seperti ini
kepada JKM, Baitulmal, ADUN atau Ahli Parlimen? Kita di Rembau perlu lakukan
sesuatu, kerana ramai saudara mara kita duduk di luar Rembau tidak mengetahui
kisah penderitaan orang kampung di sini.
Saya yakin, ramai yang ingin menghulurkan bantuan dalam
bentuk lampin dewasa, katil beroda, katil khas, kerusi roda, pembayaran bil air
dan elektrik secara atas talian, beras, gula dan makanan asas yang lain.
Masjid-masjid yang mempunyai simpanan kewangan yang banyak
pun sepatutnya memainkan peranan dalam membantu ahli kariah mereka.
Sesiapa yang ingin membantu sila hulurkan terus bantuan
sebaiknya dalam bentuk barangan keperluan kepada keluarga ini.
Jika hendak dihulurkan melalui saya sila e-mel ke rozmal@yahoo.com atau SMS 012-2267406 atau
PM FB : Rozmal
TABAH JAGA SUAMI TERLANTAR
29 Mei 2014 REMBAU - Melihat keadaan suami yang terlantar
lesu, hatinya sedih dan sayu. Namun, Norpiah Majid, 67, menerima dugaan itu
dengan kuat dan tabah demi meneruskan kelangsungan hidup. Suaminya, Abdul Latif
Osman@Othman, 77, berhenti kerja setelah mengalami masalah kesihatan dan
memerlukan penjagaan rapi, sejak setahun lalu.
Keadaannya itu menjadikan Abdul Latif yang dahulunya bekerja
sebagai pengawal keselamatan di bengkel Mara, terpaksa bergantung harap pada
isteri dan ahli keluarga untuk mengurus diri.
“Kini, dia terlantar sakit dan terpaksa memakai lampin pakai
buang kerana tidak mampu bergerak lagi. Malah saya juga harus membantu
menyuapkan makan dan minum suami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di
Kampung Batu Hampar, dekat sini.
Tambah Norpiah, suaminya merupakan penerima bantuan bulanan
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Baitulmal sebanyak RM200.
Namun kata Norpiah, semua bantuan itu digunakan untuk keperluan suaminya dan ubat-ubatan
mereka sekeluarga memandangkan dia serta anak-anaknya juga menghidap penyakit
kronik.
“Kadang-kala saya berasa sangat sedih apabila diuji seperti
ini. Suami terlantar sakit, sementara anak-anak saya pula silih berganti
ditahan di wad hospital.
Menurutnya, dia amat berharap agar permohonannya untuk
mendapatkan katil khas diluluskan segera bagi memudahkan dia menguruskan
suaminya terlantar sakit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan