KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130315

Arak hanya diharamkan dalam tentera Malaysia sejak tahun 1998


Peristiwa Lahad Datu mengingatkan kembali nostalgia saya terhadap arwah ayah saya dan moyang saya Undang Rembau, Dato Abdullah bin Hj Dahan yang merupakan salah seorang pengasas Rejimen Askar Melayu . Mungkin ramai antara orang Melayu di Malaysia ini tidak tahu pada tahun 60an, 70an, 80an, arak di mes-mes dalam kem tentera adalah merupakan kebiasaan dan kemestian.

Usaha pertama untuk membuang arak dari kem yang didiami oleh tentera yang beragama Islam dilakukan oleh arwah saya ketika dia mula-mula dilantik menjadi Pegawai Memerintah 16 RAMD , Kem Pengkalan Chepa, Kelantan pada tahun 1976.

Ayah saya pada ketika itu mengumpulkan semua pegawai-pegawainya dan berkata kepada pegawai dibawah arahannya dan memberitahu mereka “Kita ni Askar Melayu, beragama Islam, kenapa perlu ada arak di mes kita, dalam kem kita. Semua pegawai-pegawai selepas itu bersetuju untuk membuang semua arak di kem tersebut”

Apabila MINDEF dapat tahu tindakan arwah ayah saya. Ayah saya telah dipanggil mengadap Panglima Angkatan Tentera pada ketika itu. Ayah saya pun berhujjahlah dengan PAT pada ketika itu. Kemudian ayah saya kembali bertugas dan tiada apa-apa tindakan susulan atau tindakan disiplin. Sejak dari itu 16 RAMD bebas arak.

Saya tak pasti samada DYMM Yang Dipertuan Agong pada ketika ini masih ingat peristiwa tersebut, kerana Baginda ada melakukan lawatan rasmi di Kem Pengkalan Chepa pada tahun 1976-77.

Saya rasa berbangga kerana secara rasminya arak diharamkan di semua kem tentera oleh seorang anak Rembau dari DUN Kota iaitu Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Ismail bin Haji Omar pada 19 September 1998 yang merupakan Panglima Angkatan Tentera pada ketika itu.

Panglima Angkatan Tentera yang panggil ayah saya di MINDEF isu pembuangan arak dari mes telah meninggal dunia seminggu sebelum ayah saya meninggal dunia pada tahun 2011.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua-dua mereka yang merupakan perwira negara.

Sesungguhnya tarikh 16 September bukan hanya tarikh hari pembentukan Malaysia tapi adalah tarikh pembebasan arak dari kem tentera.

Rozmal bin Malakan http://rozmal.blogspot.com

Menyingkap riwayat hidup Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Ismail bin Haji Omar, beliau telah dilahirkan pada 29 April 1941 di Kampung Mungkal, Kota, Negeri Sembilan. Kota terletak di dalam Daerah Rembau yang kaya dengan budaya dan terkenal dengan Adat Perpatih .

Khidmat bakti Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Ismail tidak terhenti apabila pada 16 September 1998, beliau telah membuat pengumuman bahawa berkuatkuasa dari tarikh itu yang bersamaan dengan sambutan ulangtahun ATM ke-65, ATM mengharamkan arak kepada semua anggota-anggota tentera di ketiga-tiga perkhidmatan Darat, Laut dan Udara. Pengharaman tersebut meliputi samada kegiatan meminum, menjual dan memilikinya dalam mana-mana premis atau kawasan tentera.

Walaubagaimana pun pengharaman ini dikecualikan kepada anggota-anggota tentera yang bukan beragama Islam.

Dengan pengharaman ini ATM muncul sebagai agensi kerajaan yang ulung menguatkuasakan peraturan seumpama ini sesuai dengan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan.

Langkah yang diambil oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Ismail dalam meninggikan syiar Islam amat besar maknanya kepada seluruh warga ATM yang beragama Islam.

Aritkel penuh kisah hidup Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Ismail bin Haji Omar di http://www.harimaumalaya.mil.my/MANTAN%20PTD%20from%202%20RAMD/16.PTD14.pdf

Tiada ulasan: