Projek filem 8 orang
perwira yang gugur di Sabah lama tertangguh
22
Mac 2011
Produksi
1963: Kalabakan masih menunggu lampu hijau dapatkan dana
WALAUPUN
kerja pra-produksi bagi pembikinan cereka sejarah, 1963: Kalabakan,
sudah diselesaikan, filem terbitan syarikat KalamAriff Holdings Sdn
Bhd itu belum dapat dimulakan penggambarannya kerana pihak produksi
masih menunggu keputusan mendapatkan geran kerajaan.
Selepas
menghantar kertas cadangan dan dipanggil membentangkan projek filem
yang mengambil lokasi di Tawau, Sabah itu pada November lalu, hingga
kini mereka belum mendapat sebarang jawapan daripada Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
Jika
tiada kata putus, filem bersandarkan tragedi yang berlaku 48 tahun
lalu di Kalabakan, Tawau, sempadan antara Sabah dan Kalimantan
membabitkan pembunuhan lapan askar Melayu yang diserang hendap musuh
ketika solat Maghrib masih tertangguh.
Peristiwa
hitam itu berlaku sesudah tercetusnya konflik Ganyang Malaysia akibat
isu politik antara negara ini, Indonesia dan Filipina, berikutan
cadangan penubuhan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu,
Singapura, Borneo Utara (Sabah) serta Sarawak.
Pengarahnya,
Jurey Latiff Rosli berkata, penghasilan filem berkaitan sejarah perlu
dilakukan secara teliti kerana ia memerlukan kajian mendalam supaya
tidak memesongkan fakta, malah memerlukan kos tinggi dari segi latar
lokasi, props dan kostum yang harus dipadankan dengan situasi asal.
“Dana
ini amat penting bagi kami kerana kerajaan juga menggalakkan
penghasilan filem kenegaraan dan apabila pihak berkaitan mengambil
masa panjang hingga berbulan-bulan untuk mempertimbangkan keputusan,
ia memberi kesan terhadap produksi ini.
“Ikut
perancangan asal jika penggambaran dapat dimulakan pada Mac, filem
ini diharap dapat menemui khalayak pada 16 September ini bertepatan
sambutan Hari Malaysia. Namun nampaknya jadual yang dirancang sudah
‘lari’ jauh,” katanya dengan nada sedikit terkilan.
Tanpa
sebarang niat mahu mendesak, pengarah filem Libas itu berharap FINAS
tidak melengahkan lagi keputusan kerana daripada penerangan selepas
sesi pembentangan kertas kerja 1963: Kalabakan, difahamkan proses
terbabit hanya dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.
Katanya
lagi, pihaknya tertanya-tanya mengenai status permohonan itu.
Walaupun tidak bertanya secara rasmi, sebaliknya hanya sekadar
menghubungi individu tertentu di perbadanan itu, dimaklumkan kertas
kerjanya kini sudah berada pada peringkat tertinggi untuk
diperhalusi.
“Kami
anggap semua ini sebahagian daripada dugaan untuk merealisasikan
sejarah hitam Kalabakan. Kami mahu generasi masa kini mengetahui
semangat pahlawan di Kalabakan dan menyoroti semula perjuangan anak
bangsa dari perspektif sebenar.
“Sekurang-kurangnya
geran ini juga menjadi bukti sokongan jitu kementerian berkaitan
terhadap usaha ini apatah lagi Kementerian Pertahanan dan Kerajaan
Negeri Sabah juga sedia memberikan kerjasama memastikan 1963:
Kalabakan direalisasikan,” katanya.
Rosyam
antara pelakon pilihan
AKUI
Jurey lagi, produksi terbabit turut mempunyai modal dan berusaha
mencari penaja, tetapi masih mengharapkan geran atau pembiayaan
apatah lagi bagi filem bercorak sedemikian, sekurang-kurangnya
suntikan dana mampu melegakan penerbit.
“Jika
memikirkan keuntungan lebih baik kita ikut arus semasa - buat filem
komersial yang pasti jika tidak box-office, tetap balik modal. Filem
1963: Kalabakan tetap mahu diterbitkan tahun ini kerana ia mempunyai
nilai sentimental yang sewajarnya dikongsi bersama.
“Kami
tidak akan patah semangat. Bagai dijanjikan penerbitnya dulu, kita
tidak akan berkompromi dalam soal kualiti mahu pun penghasilan
keseluruhan filem ini kerana alang-alang membuat filem kenegaraan,
biarlah ia jadi warisan hingga anak cucu,” katanya lagi mengenai
filem yang turut menggunakan teknik imejan janaan komputer (CGI) itu.
Skrip
1963: Kalabakan disempurnakan Martias Ali manakala lokasinya 100
peratus di tapak kawasan tragedi sekitar Tawau, malah bagi
mendapatkan gambaran sebenar, selain meninjau set pada Ogos lalu,
rombongan Jurey turut bertemu dengan saksi insiden berkenaan untuk
mendapatkan gambaran sebenar.
Bagi
menambah rencah kronologi penceritaan, elemen komersial tidak
diketepikan apabila diselitkan juga fantasi dan cinta yang menjurus
kepada nilai persahabatan, kasih sayang dan kemanusiaan, supaya tidak
menjadi seperti dokumentari.
Mengenai
barisan tunjang utama, Jurey berkata Rosyam Nor antara aktor yang
menjadi pilihannya selain beberapa nama lain seperti Zamarul Hisham
dan Zul Huzaimy. Namun segala-galanya belum ditentukan kerana
menunggu keputusan daripada FINAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan