KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20130801

Sultan kesal aktiviti yang dirancang abaikan waktu solat




Rancang aktiviti tanpa abaikan ibadat sembahyang
26 Julai 2013

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan, agat semua aktiviti yang dirancang hendaklah memastikan ibadat sembahyang tidak tercicir.

Kebawah DYMM bertitah menegaskan agar tidak terlepas pandang mengenainya kerana jika terlepas pandang dalam perkara ini bererti kita mengundang laknat Allah Ta’ala.

Baginda bertitah memberi contoh salah satu aktiviti yang sudahpun berlaku iaitu sukan larian yang disebut ‘The Run’ di mana acara-acara tersebut menurut jadual telah bermula dari jam 4.00 pagi lagi untuk menerima peserta. Pada jam 4.40 pula peserta dikehendaki berhimpun di tempat kawasan pemanasan badan, dan tepat jam 5.00 pagi, sesi pemanasan badan bermula, dengan acara-acara larian terus berlangsung termasuklah hiburan. Pada jam 8.30 pagi barulah ketibaan tetamu kehormat dan diikuti oleh beberapa acara lain sehingga tamat pada jam 9.30 pagi.

Melihat pada jadual ini baginda merasa pelik kerana jadual aktiviti itu termasuk dalam waktu Sembahyang Subuh iaitu jam 4.43 pagi hingga membawa ke waktu siang.

Baginda juga mendapat tahu, jumlah peserta adalah ramai, sehingga mencecah beribu-ribu orang, di mana di dalam jumlah seramai itu tentu saja majoritinya adalah orang Islam.

Memandang kepada program tersebut,baginda amat kesal kerana mengabaikan ingatan mereka terhadap sembahyang berbanding sukan.

Dalam hal ini, baginda menyarankan pihak penganjur serta para pemimpin yang terlibat juga, perlu berperanan untuk meluruskan keadaan, kerana kalau tidak berbuat demikian nampak perkara ini adalah satu musibah.

“Sungguh hairan,orang masih saja boleh ketawa, walaupun ribuan para belia dan remaja, lelaki dan perempuan tidak Sembahyang Subuh, padahal mereka juga mungkin sudah faham dan malah tahu, bahawa dua raka’at Sembahyang Sunat Subuh sahajapun, nilainya adalah mengatasi harga dunia ini dengan segala isi di dalamnya”, tegas baginda.

Mengambil kesempatan di majlis ini, baginda berharap agar kejadian yang seumpama itu tidak akan berlaku lagi, di samping itu juga ingin mengingatkan kepada para penganjur dan pemimpin khasnya supaya lebih berhati-hati dalam merancang sebarang rancangan atau kegiatan yang melibatkan anak buah dan orang ramai.

“Adalah perlu, untuk mereka menilai dan memastikan terlebih dahulu agar rancangan atau kegiatan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran Islam, kerana jika ia bertentangan dan kita pula melakukannya, bukankah ini sama ertinya dengan kita menghinakan diri dan ugama sendiri, tegas baginda.

Tiada ulasan: