Rancang aktiviti tanpa abaikan ibadat sembahyang
26 Julai 2013
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali
Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
bertitah mengingatkan, agat semua aktiviti yang dirancang hendaklah memastikan
ibadat sembahyang tidak tercicir.
Kebawah DYMM bertitah menegaskan agar tidak terlepas pandang
mengenainya kerana jika terlepas pandang dalam perkara ini bererti kita
mengundang laknat Allah Ta’ala.
Baginda bertitah memberi contoh salah satu aktiviti yang
sudahpun berlaku iaitu sukan larian yang disebut ‘The Run’ di mana acara-acara
tersebut menurut jadual telah bermula dari jam 4.00 pagi lagi untuk menerima
peserta. Pada jam 4.40 pula peserta dikehendaki berhimpun di tempat kawasan
pemanasan badan, dan tepat jam 5.00 pagi, sesi pemanasan badan bermula, dengan
acara-acara larian terus berlangsung termasuklah hiburan. Pada jam 8.30 pagi
barulah ketibaan tetamu kehormat dan diikuti oleh beberapa acara lain sehingga
tamat pada jam 9.30 pagi.
Melihat pada jadual ini baginda merasa pelik kerana jadual
aktiviti itu termasuk dalam waktu Sembahyang Subuh iaitu jam 4.43 pagi hingga
membawa ke waktu siang.
Baginda juga mendapat tahu, jumlah peserta adalah ramai,
sehingga mencecah beribu-ribu orang, di mana di dalam jumlah seramai itu tentu
saja majoritinya adalah orang Islam.
Memandang kepada program tersebut,baginda amat kesal kerana
mengabaikan ingatan mereka terhadap sembahyang berbanding sukan.
Dalam hal ini, baginda menyarankan pihak penganjur serta
para pemimpin yang terlibat juga, perlu berperanan untuk meluruskan keadaan,
kerana kalau tidak berbuat demikian nampak perkara ini adalah satu musibah.
“Sungguh hairan,orang masih saja boleh ketawa, walaupun
ribuan para belia dan remaja, lelaki dan perempuan tidak Sembahyang Subuh,
padahal mereka juga mungkin sudah faham dan malah tahu, bahawa dua raka’at
Sembahyang Sunat Subuh sahajapun, nilainya adalah mengatasi harga dunia ini
dengan segala isi di dalamnya”, tegas baginda.
Mengambil kesempatan di majlis ini, baginda berharap agar
kejadian yang seumpama itu tidak akan berlaku lagi, di samping itu juga ingin
mengingatkan kepada para penganjur dan pemimpin khasnya supaya lebih
berhati-hati dalam merancang sebarang rancangan atau kegiatan yang melibatkan
anak buah dan orang ramai.
“Adalah perlu, untuk mereka menilai dan memastikan terlebih
dahulu agar rancangan atau kegiatan tersebut tidak bertentangan dengan
ajaran-ajaran Islam, kerana jika ia bertentangan dan kita pula melakukannya,
bukankah ini sama ertinya dengan kita menghinakan diri dan ugama sendiri, tegas
baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan