Kuliah subuh minggu sudah di Masjid
Bandar Baru Senawang oleh Ustaz Abdul Rahim Yusof, beliau
menceritakan satu kisah dimana beliau diberitahu seorang warga Arab
Saudi, bahawa orang Arab tadi terkejut apabila dia melawat negara
Jerman. Warga Arab tadi kata dia melihat hadith Nabi saw diamalkan di
Jerman tetapi tidak di negaranya.
Ustaz Rahim bandingkan antara sikap
orang Jerman dan orang Arab dari sudut kebersihan contohnya
kebersihan tandas awam. Bandingkan sikap orang Jerman dan sikap orang
Arab ketika memandu di jalanraya.
Pada saya bukan orang Arab saja,
malahan orang Malaysia. Jauh beza cara kerja orang Jerman dan orang
Malaysia.
Tidak hairanlah orang Jerman begitu
hebat dalam kejuruteraan.
Bila Ustaz Rahim cakap macam tu, baru
saya sedar, saya sendiri yang sejak sekian lama bekerja dengan firma
Jerman memang begitu jauh sekali bezanya bila saya bandingkan dengan
isteri saya yang bekerja di sektor kerajaan dan sahabat-sahabat lain
yang bekerja dengan syarikat swasta.
Memang orang Jerman amat teliti dalam
kerja mereka. Mereka tidak kedekut ilmu. Mereka mengamalkan sikap
hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini.
Bila ada masalah di tempat kerja,
mereka tidak marah-marah, mereka bincang sama-sama dari pengarah,
dari boss hinggalah ke pekerja biasa, kuli dan sebagainya.
Pada mereka pandangan orang bawah ini
adalah amat penting, kerana yang melakukan tugasan harian ialah orang
bawah.
Cuba kita bandingkan budaya kerja orang
Jerman dengan orang Malaysia, di pejabat, di sekolah.
Agak-agak boss kita, boleh tak ikut
sikap orang Jerman. Sebelum buat perubahan atau transformasi tanya
dulu orang bawah?
Lagi satu saya tengok boss-boss Jerman
ini , tidak pernah saya tengok mereka ini berfoya-foya, tidak pernah
ada kayu golf dalam kereta mereka. Malah pengarah terbesar dari
Jerman bila datang Malaysia , tidak pernah bincang pasal golf.
Saya baru selesai di audit dan
mengikuti kursus yang dibimbing oleh orang Jerman yang begitu pakar
dalam kejuruteraan. Sepanjang 3 hari tersebut orang Jerman ini tidak
pernah marah bila ada pekerja yang buat silap, dia senyum dan minta
pekerja fikirkan sendiri macamana nak cari penyelesaian.
Betullah apa yang dikatakan Ustaz Abdul
Rahim Yusof, boleh juga diertikan hadith Nabi dilihat diamalkan orang
orang Jerman di tempat kerja mereka, tetapi susah nak lihat hadith
Nabi diamalkan di syarikat tempatan.
Antara prinsip yang paling tegas orang
Jerman ialah mereka begitu pantang dengan rasuah dan memandang jijik
akan rasuah, hinggakan mereka sanggup tidak melabur di sebuah negara
apabila agensi kerajaan di negara berkenaan mengamalkan rasuah untuk
meluluskan pelaburan mereka. Mereka kata biarlah mereka tunggu
bertahun-tahun untuk diluluskan pelaburan mereka daripada membayar
rasuah untuk segera diluluskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan