KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20131121

Muktamar PAS, sibuk pilih pemimpin bukan bantu pemimpin


Saya hairan kenapa orang dalam dan luar PAS begitu sibuk dan ghairah tertunggu-tunggu siapa yang akan membarisi kepimpinan PAS selepas ini. Saya tidak memikirkan itu semua, sekadar ambil tahu. Apa yang saya sedang fikirkan sekarang ialah bagaimana saya yang bodoh ini dapat membantu kepimpinan PAS yang baru dan lama, kerana terlalu banyak kerja yang hendak dilakukan sebelum dan selepas muktamar ini.

Bagaimana saya dapat membantu pemimpin untuk mempastikan semua ahli PAS menjaga solat mereka, terutama yang lelaki, solat jemaah di masjid.

Bagaimana saya dapat membantu pemimpin untuk mempastikan semua ahli PAS sentiasa membayar yuran bulanan cawangan, kawasan dan sebagainya, malahan menderma lebih lagi, tanpa perlu lagi selepas ini mengutip derma semasa ceramah.

Bagaimana saya dapat bantu pemimpin untuk mempastikan lebih banyak lagi PASTI akan ditubuhkan, lebih ramai lagi ahli PAS yang tua dan muda menyertai Unit Amal atau Jabatan Amal agar lebih banyak gotong royong bersih kubur, gotong royong baiki rumah keluarga miskin dapat dilakukan.

Banyak lagilah kerja nak dilakukan, sampaikan tak ada masa saya nak fikir siapa layak jadi pemimpin , siapa tidak layak, kerana yang nak jadi pemimpin PAS ialah orang PAS, bukan orang UMNO, bukan orang PKR atau bukan orang DAP, bahkan bukan orang atas pagar.

Fenomena sibuk siapa perlu jadi pemimpin dalam parti atau dalam organisasi bukan sahaja berlaku dalam parti malahan dalam apa-apa organisasi.

Ada orang tanya saya bila nak buat mesyuarat agung surau. Saya jawab mudah saja, sampai 50 peratus ahli taman kita solat jemaah di surau, itulah KPI kita untuk buat mesyuarat agung.

Kita patutnya bukannya sibuk siapa yang nak jadi pemimpin surau, kita patutnya sibuk mengajak orang ke surau setiap waktu, setiap hari, bukannya sibuk mengajak orang ke surau untuk mesyuarat agung setahun sekali.

Itu belum lagi dalam PIBG dan dalam beberapa persatuan lain.

Jadi kepada mereka yang sibuk nak tahu siapa yang layak jadi pemimpin, tanya diri kita dulu, adakah kita layak jadi pemimpin keluarga, jadi suami, jadi bapa?

Tiada ulasan: