Setelah 10 hari 3 orang nelayan ini hanyut di lautan,
akhirnya mereka diselamatkan dengan izin Allah tanpa sebarang peralatan canggih
dan misi bantuan menyelamat yang menelan belanja ratusan juta ringgit seperti
satelit, radar, helikopter, kapalterbang radar, bubu, tikar ajaib, sonar dan
kapal selam.
Dengar orang mengaji tengah laut
6 Jun 2014
DUNGUN - “Jangan putus asa, ingat segala kejadian mesti ada
hikmahnya, kita mesti bertawakal, jangan putus
berdoa selain berikhtiar dengan apa cara sekalipun, dalam situasi
seperti ini tiada siapa yang dapat menolong kita kecuali ALLAH,” kata Che Wan
Mohd Razi Che Wan De, 48.
Che Wan Mohd Razi adalah seorang daripada tiga nelayan yang
terselamat selepas bot pukat tunda dinaiki mereka dihanyutkan arus sebaik
dilanggar kapal besar ketika keluar menangkap ikan di perairan Dungun pada 26
Mei lalu.
Kata Che Mohd Wan Razi, sepanjang tempoh berkenaan, mereka
tidak putus berdoa agar muncul bot lain bagi memberikan bantuan, selain
berusaha memberikan isyarat melalui pelbagai cara termasuk menyalakan lampu
suluh dan melaung sekuat hati, namun semuanya hampa.
Bagaimanapun Che Wan Mohd Razi berkata, saat paling
menyentuh perasaannya ketika berada di tengah lautan apabila dia tiba-tiba
terdengar suara orang mengaji al-Quran sebaik masuk waktu Subuh pada hari ke
tujuh dan hari terakhir sebelum botnya ditemui.
Katanya, ketika itu, hatinya tiba-tiba berasa sayu, apatah
lagi melihat kebesaran Tuhan dengan lautan yang meluas dan jarak lokasi ketika
itu kira-kira 90 batu nautika dari perairan Seberang Takir Kuala Terengganu dan
20 batu nautika dari sempadan perairan
Laos.
Di saat itulah, dia berdoa sekali lagi agar ditunjukkan
jalan keluar menemui daratan sebelum botnya ditemui kira-kira jam 10 pagi,
kelmarin, oleh sebuah bot tempatan yang keluar untuk memancing ikan.
“Sebaik ternampak bot itu, kami melambaikan tangan. Bot kami
kemudian ditunda hingga ke jeti Seberang Takir sebelum pulang ke sini
(Dungun),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan