KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20140624

Izinkan saya tegur Perdana Menteri isu Teknologi dan Sejarah Melaka


Izinkan saya menegur sedikit kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siaran berita TV1 , Selasa 24 Jun 2014 jam 7 pagi tadi. Dalam ucapan beliau mengenai Formula 6K UMNO, PM menyebut agar menguasai teknologi. Melaka jatuh kerana orang Melayu pada ketika itu tidak menguasai teknologi. Lawan Portugis dengan tombak dan keris sedangkan Portugis guna meriam dan senjata terkini.

Saya mohon agar pakar sejarah dapat menegur PM dalam bab ini. Orang Melayu yang melawan Portugis pada ketika itu sudah ada meriam, sudah ada senapang. Malahan antara sebab Portugis menyerang Melaka ialah untuk mencuri pelbagai teknologi dari orang Melayu pada ketika itu.

Harap pakar sejarah dapat mendedahkan penemuan mereka kepada umum agar orang Melayu mencari kembali identiti mereka yang sebenarnya. Saya menegur kerana keturunan saya datang dari Minangkabau berkahwin dengan Orang Asli untuk mengusir Portugis dari bumi Tanah Melayu.

Artikel saya mengenai persoalan rupa bentuk senapang orang Melayu ketika melawan Portugis di http://rozmal.blogspot.com/2013/01/bagaimana-rupa-senapang-melayu-ketika.html

******************
Presiden Umno Garis '6K' Sebagai Resepi Utama Kekuatan Parti

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2014 (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan formula "6K" sebagai resepi kekuatan Umno untuk terus kukuh dan kekal relevan iaitu Ketaatan, Kesetiaan, Keberanian, Kesetiakawanan, Kebijaksanaan dan Keikhlasan.

****************
Najib Mahu Warga Felda Kuasai Ilmu, Teknologi Dalam Fasa Pembangunan
Isnin, 15 Ogos 2011

KOTA TINGGI: Warga Felda perlu menguasai ilmu dan teknologi di dalam fasa pembangunannya bagi memastikan ia berkemampuan menangani cabaran-cabaran pada masa kini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahad.

Beliau berkata kegagalan menguasai ilmu dan teknologi boleh menyebabkan Felda mengalami nasib yang sama sebagaimana yang menimpa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka 500 tahun dahulu apabila ia dijajah oleh kuasa asing.

"Esok pada 15 Ogos, genaplah 500 tahun kerajaan Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis. Kita perlu menjadikan peristiwa itu sebagai iktibar," katanya ketika berucap pada majlis Rahmat Ramadan di Felda Ayer Tawar 2, di sini.

Katanya kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511 disebabkan dua faktor iaitu ketidaksetiaan serta kegagalan kesultanan dalam menguasai ilmu dan teknologi peperangan moden ketika itu.

Perdana Menteri berkata Melaka masih menggunakan persenjataan seperti tombak dan keris dalam usahanya untuk memerangi kekuatan bala tentera Portugis yang menggunakan meriam dan persenjataan terkini pada waktu itu.

Tiada ulasan: