KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20140622

Jangan leka dengan Piala Dunia, tengoklah jiran tetangga, saudara mara kita


Semalam ketika bergotong royong persiapan forum Di Ambang Ramadhan di rumah saya, Hj Nasir terkejut apabila dia menziarahi sebuah rumah di Kg Semerbok, Rembau. Begitu daif sekali keadaan rumah tersebut, atap rumahnya banyak yang bocor, bekerja hanya sebagai pengawal keselamatan. InsyaAllah, kita sedang berusaha untuk membantu keluarga ini.

Janganlah kita leka dengan Piala Dunia, kereta kita, Whatsapp kita. Tengoklah mereka sekeliling kita, pekerja kutip sampah, penyapu longkang, pengawal keselamatan, mereka ini tidak pernah mengadu, meminta-minta. Entah-entah ramai jiran tetangga kita, saudara mara kita, mengalami nasib serupa dengan keluarga di Nilai, Negeri Sembilan ini. Jika mereka bukan saudara kita, setidak-tidaknya mereka ini saudara kita dalam Islam, kalau mereka ini bukan saudara se Islam kita, mereka ini dari keturunan yang sama, keturunan Nabi Adam AS.

Sebelum kita nak salahkan JKM atau Baitul Mal dalam kes ini, salahkan diri kita sendiri, ada tak kita selalu pergi ke tempat sebegini yang banyak ada di kejiranan kita? Kalau di Senawang, boleh saya tunjukkan di mana, kalau di Rembau boleh saya tunjukkan di mana.

Lekalah kita semua dengan Piala Dunia, lekalah kita semua dengan Buffet Ramadhan, lekalah kita semua dengan Lagu Raya, kita pasti akan ditanya di hadapan ALLAH akan nasib keluarga-keluarga seperti ini yang ada di kejiranan kita, di kampung kita.

‘Mereka tidak tahu kesempitan hidup saya’
22 Jun 2014

Seremban: “Semua orang salahkan saya dan tuding jari ke arah saya menuduh saya tidak tahu menjaga anak dengan baik, tetapi mereka tidak tahu kesempitan hidup dan kesengsaraan yang saya alami.

“Saya sayangkan anak saya tetapi saya perlu bekerja dan menyara kehidupan dia, saya dan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun,” kata ibu remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam sebuah bilik di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di Nilai, semalam.
Remaja malang itu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.

Ibu remaja itu yang kini isteri kedua dan mahu dikenali sebagai Lola, 40, berkata, dia bukan meninggalkan anak sulungnya yang menghidap penyakit celebral palsy itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan, sebaliknya dia mendakwa meninggalkan makanan dalam bekas polisterin sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, waktu kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia tiada masa menguruskan Muhammad Firdaus dengan baik dan mahu anak lelakinya itu berdikari.

“Saya tidak pernah mendaftar anak saya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu caranya dan terpaksa meninggalkannya sendirian kerana bekerja mencari wang,” katanya.

Tiada ulasan: