Harakah 13 Jun 2014 : Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan beberapa hari
lalu telah merobohkan rumah Nasir Ismail, 86, di Kampung Chubadak Tambahan,
Sentul.
Menurut menantunya, Aziz Anuar, 56, pihak keluarganya
merelakan pihak berkuasa berbuat demikian ke atas rumah warisan berusia lebih
50 tahun itu memandangkan mereka telah bersetuju dipindahkan ke Projek
Perumahan Rakyat (PPR).
"Hanya pampasan RM7,000 yang dijanjikan belum lagi kami
dapat," ujarnya sedih ketika ditemui Harakah semasa operasi perobohan
sedang dilakukan.
Sebelum itu, kedua-dua agensi terbabit juga dipercayai mahu
merobohkan rumah Suhaimah Alang Dom, 72, yang terletak berdekatan rumah Nasir.
Sementara itu, tinjauan Harakah juga mendapati keluarga
Halim Abd Hamid, 76, dan Abd Hamid Saad, 61, sudah tiga hari tidur di bangsal
dan khemah bersebelahan tapak rumah mereka yang dirobohkan sejak 9 Jun lalu.
Halim ketika ditemui berkata, unit PPR yang disediakan
kepada mereka masih belum dilengkapi bekalan elektrik.
"Pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) suruh kami dapatkan
surat kebenaran daripada DBKL untuk masukkan api (elektrik). Kami dibuat macam
bola," ujar Wahidah Salleh, 73, isteri kepada Halim.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk menghulurkan
derma dan bantuan ikhlas kepada keluarga teraniaya terbabit ditambah bulan
Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:
CIMB 7011 2304 04
(Abdul Hamid Saad)
BANK ISLAM 14-014-02-065882-3 (Wahidah Salleh)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan