Baru-baru ini beberapa pakar penyelidik telah memberi
syarahan di Sarawak mengenai kepentingan nyamuk dan lalat dalam kehidupan
manusia dan alam ini. Apa yang menarik ialah kata-kata Dr Takao Kazawa dari
Kanazawa University iaitu : “Lalat sentiasa menjadi kawan kita. Banyak telah
saya pelajari daripada lalat dan menyedari tidak ada satupun kehidupan di bumi
ini tidak berguna kepada biodiversiti dalam ekosistem kita”.
Apa yang dikatakan oleh Dr Takao bahawa tiada satu pun
makhluk di dunia ini yang dijadikan di alam ini sia-sia sudah dinyatakan dalam
al Quran dalam surah A-li'Imraan.
Malahan lalat dan nyamuk disebut sekali saja dalam al Quran
dalam surah Al-Hajj dan surah Al-Baqarah, dimana dalam ayat tersebut menyuruh
kita mendengar bersungguh-sungguh apabila dibuat perbandingan nyamuk dan lalat
ini.
Menariknya Allah telah menyebut dalam al Quran orang kafir
akan mengkaji kejadian alam ini seperti berikut ; “kalau orang-orang yang
beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan
mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah
maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?”
Saya bukan ahli tafsir, bukan ustaz. Mohon para ustaz,
pendakwah menghuraikan topik ini. Kalau saya silap, maafkan saya.
Tak yakinkah lagi kita dengan Al Quran, tak yakinkah kita
dengan hukum Allah, tak yakin lagikah kita dengan Hadith? Adakah kita masih
takut untuk memperkatakan apa yang benar, walaupun kepada pemerintah?
Nyamuk, lalat penting dalam ekosistem, kehidupan manusia
June 20, 2013
Saintis Etomologi (Bersara) di Institut Kebangsaan Penyakit
Berjangkit (NIID) Tokyo Jepun Dr Hiromu Kurahashi berkata, kajiannya terhadap
satu kumpulan spesies lalat ‘carrion flies’ (lalat memakan bangkai) mendapati
lalat itu memainkan peranan penting dalam bidang perubatan dan forensik.
Menurutnya sifat lalat ini (carrion fly) yang agresif dengan
larvanya sangat aktif memakan bangkai reput dan merupakan parasit aktif di
dalam badan serangga atau binatang kecil lain menjadikannya ejen penting dalam
proses kitar semula sumber-sumber protein dalam ekosistem.
“Misalnya larva lalat ini dengan cepat memakan bangkai reput
di dalam hutan.
“Ia menjadi mangsa kepada burung atau binatang kecil atau
serangga lain malah ada kalanya menjadi makanan manusia.
“Adakah anda menghormati lalat? Tanpa kita sedari larva
lalat bekerja keras setiap hari untuk memastikan bumi kekal bersih,” katanya
ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Carrion Flies Sebagai Mahkluk
Penting Ekologi di Atas Bumi’ pada ceramah awam anjuran Jabatan Muzium Negeri
Sarawak (JMNS) semalam.
Beliau menambah, lalat juga berperanan sebagai ejen
pendebungaan dan ia terbukti dalam sektor perladangan mangga di Jepun.
“Lalat sentiasa menjadi kawan kita malah pada masa akan
datang apabila kita menjelajah ke ruang angkasa atau planet lain.
“Banyak telah saya pelajari daripada lalat dan menyedari
tidak ada satupun kehidupan di bumi ini tidak berguna kepada biodiversiti dalam
ekosistem kita,” katanya.
“Apa yang selebihnya mereka lakukan? Adakah mereka hidup
tanpa sebarang hubungan dengan kehidupan manusia?
“Dalam kalangan spesies itu larva beberapa spesies nyamuk
sangat membantu dalam kehidupan kita,” katanya.
Menurutnya. nyamuk spesies ‘toxorhynchites’ mempunyai larva
yang bersifat pemangsa yang akan memakan larva spesies lain.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada
pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan
keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah
semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan
mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):
"Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan
sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
(A-li'Imraan 3:190-191)
Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal
perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya
mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali
akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk
membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak
dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang
meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada
menunaikannya).
(Al-Hajj 22:73)
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa
sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana
perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka
akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau
orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah
membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak
orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang
mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan
sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
(Al-Baqarah 2:26)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan