ALOR SETAR 24 Jun 2013 - Seorang warga emas maut dalam satu
kejadian samun dipercayai dilakukan oleh pembantu rumahnya sendiri di Taman
Serindit di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, mangsa, Che Siah Wan
Nik, 75, berada di rumah berkenaan bersama tiga ahli keluarga iaitu suaminya
yang lumpuh, Ismail Abbas, 80-an, dan dua cucu, Nor Izzati Nasaruddin, 22,
serta cucu kurang upaya, Yusrah Nasaruddin, 16.
Pembantu rumah wanita warga Indonesia yang menjadi suspek
utama kejadian berkenaan pula kembali bekerja di rumah tersebut sejak semalam
selepas pulang bercuti ke negaranya pada Disember tahun lalu.
Suspek sebelum ini dikatakan pernah bekerja selama setahun
setengah bersama keluarga berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman
Mohd. Jan berkata, mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah di bilik utama
rumah berkenaan dengan kesan tikaman objek tajam di bahagian rusuk kirinya.
Katanya, polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas
mendapat maklumat awam menemui sebilah gunting di dalam rumah tersebut
dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
"Turut ditemui adalah wang tunai kira-kira RM4,000 dan
barang kemas dalam beg pembantu rumah itu di dalam biliknya. Suspek dipercayai
telah bersiap sedia untuk melarikan diri," katanya kepada pemberita hari
ini.
Menurut Adzaman, sebelum menyamun, suspek dipercayai
mengikat cucu Che Siah berusia 22 tahun pada sebuah katil di bilik belakang dan
membawa mangsa ke bilik utama.
Bagaimanapun, katanya, cucu mangsa dapat melepaskan diri
tanpa disedari suspek sebelum menghubungi bapanya yang dikatakan berada di luar
negeri ini kerana menghadiri kursus.
"Tidak lama kemudian, orang ramai memasuki rumah
berkenaan dan pembantu rumah itu cuba berhelah dengan mengatakan penghuni
disamun empat lelaki. Namun siasatan lanjut polis mempercayai yang melakukan
samun itu adalah pembantu rumah itu sendiri," katanya.
Tambah beliau, suspek direman selama seminggu dan kes
disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta 302 Kanun Keseksaan.
"Penduduk turut memberi kerjasama baik dan kes ini
dianggap selesai berikutan penangkapan itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan